Tarian Bulan

Text
0
Kritiken
Leseprobe
Als gelesen kennzeichnen
Wie Sie das Buch nach dem Kauf lesen
Schriftart:Kleiner AaGrößer Aa

Mencipta pengikut untuk membekalkannya darah bukanlah sesuatu yang sukar. Kane masih berasa kagum pada pemandangan keseluruhan Gothic bawah tanah di dalam bandar. Kebanyakan mereka hanya bermimpi untuk menjadi seperti dirinya… pontianak sebenar dan bukannya Gothic jadi-jadian.

Apa yang perlu dia lakukan hanya menukarkan satu, dan membiarkan orang bawahan tanpa jiwanya mengikut arahannya. Kane memilih kumpulan paling berbahaya… kumpulan yang kelihatan seperti telah hilang jiwanya kepada kegelapan. Raven, seorang gasar, yang sudah lama menjadi psikopat pinggiran sebagai manusia… seorang buangan Gothic, yang kelaparan darah jauh lebih lama sebelum dia benar-benar mempunyai keperluan untuk itu.

Raven satau-satunya orang yang Kane pernah beritahu tentang pengkhianat pengubah bentuk yang memerangkapnya dan kemudian menanamnya hidup-hidup. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia memberitahu Raven… kebosanan mungkin.

Kane telah membebaskan lelaki gasar itu ke bandar. Selama ini Raven marah kepda dunia sebelum dilahirkan semula sebagai anak kegelapan dan kini Kane telah memberinya peluang untuk melepaskan kemarahannya itu. Raven dengan sendirinya telah membalas dendam atas nama Kane dan pontianak tanpa jiwa itu menggunakan kebolehan baru sepenuhnya.

Dia tidak peduli pun untuk cuba menghentikan Raven kerana ianya benar-benar sepadan dengan perancangan untuk menjatuhkan keseluruhan keluarga Malachi. Mengapa dia perlu melindungi pengubah bentuk itu daripada Raven? Paling-paling pun dia hanya perlu memberitahu budak lelaki itu yang dia tidak perlu membunuh manusia untuk mengisi perutnya, yang dia tidak perlu melakukan sebarang kerosakan, jika dia tidak mahu melakukannya. Bukan salahnya yang menyebabkan Raven memilih untuk membunuh.

Kali pertama Raven membunuh adalah satu-satunya waktu di mana Kane masuk campur, menangkap budak lelaki itu sebelum dia meninggalkan orang-orang yang mati dengan tanda yang ditinggalkan pontianak dalam lingkungan penglihatan manusia. Memastikan rahsia mengenai puaknya telah lama tertanam dalam dirinya untuk memastikan dia terus hidup dan dia lupa untuk berkongsi tentang rahsia itu dengan Raven. Kane kemudian menunjukkan cara bagaimana untuk memotong melalui tanda benaman taring dan membuatnya kelihatan seperti pembunuh kejam.

Raven dengan sengaja meletakkan mangsa-mangsanya berhampiran Kelab Tarian Bulan agar dijumpai oleh pihak berkuasa. Ini adalah rancangan yang sempurna. Kebanyakan pontianak secara semulajadinya kejam jadi Kane telah menghabiskan kehidupan tanpa matinya itu dalam lingkungan pembunuh. Melihat budak lelaki ini membunuh kelihatan biasa pada pandangan jenisnya.

Andai Syn bangun untuk melihat pesta pembunuhan ini, pastinya dia akan bertindak membebaskan dunia ini dari kesengsaraan dengan membunuh Raven atau mengikatnya ke dalam kubur. Kini setelah Kane merasakan pengalaman melalui hukuman tersebut, dia lebih rela memilih untuk mati sebagai pengakhiran pantas untuknya.

Sebelum pemulauannya, dia menjadi sahabat kepada satu lagi pontianak… Michael. Mereka telah berkawan lebih lama daripada apa yang diingatinya atau kemahuan mereka sendiri. Mereka berdua dikurniakan batu darah kerana mereka masih kekal mempunyai roh… mereka berdua dan adik Micheal, Damon.

Michael ialah seorang lelaki yang baik… bak kata orang masih lagi di sisi malaikat, walaupun dia terdengar bahawa sisi gelap dalam diri Damon telah berkembang dan menjadikan abangnya sasaran melepaskan kejahatannya. Mungkin dia akan datang menjenguk Damon selepas urusannya disini selesai dan mengajarnya supaya lebih beradab sopan. Kane tertanya-tanya tentang persaingan adik beradik antara mereka yang muncul secara tiba-tiba kerana Michael sangat sayangkan adiknya… tetapi hal itu sering mempunyai cara untuk berubah.

Kane tidak mahu Michael tahu tentang kesan kejahatan yang ditinggalkan oleh kuburan itu dalam dirinya. Dia menghabiskan sedikit masa selama beberapa minggu yang lalu memerhatikan Michael dari jauh. Dia tahu Michael dan anak sulung jaguar, Warren, kini berkawan… sama seperti dia dan Malachi satu masa dahulu.

Pengubah bentuk adalah pengkhianat dan Michael masih belum mengetahui fakta itu. Dengan menghapuskan pengubah bentuk itu, dia akan tunaikan permintaan terakhit Michael… demi masa lalu mereka.

Kane mencapai ke atas, menyentuh subang yang padanya dilekatkan batu darah mengetahui yang ia sentiasa menyekatnya untuk membunuh manusia. Jika jiwanya benar-benar terjerumus dalam kejahatan, maka magis yang ada dalam batu darah tidak akan berkesan ke atasnya. Dia sering tertanya-tanya bagaimana Malachi boleh terlepas pandang tentang fakta mudah… bukti bahawa dia tidak bersalah betul-betul berada di depan matanya.

Tidak kira… Dia telah pun menghabiskan selama tiga puluh tahun di penjaranya untuk sesuatu yang dia tidak lakukan. “Balas dendam akan terasa seperti neraka kawanku.”

*****

“Telemarketer?” tanya Chad, sambil cuba menyembunyikan senyuman sinisnya, sementara adik perempuannya menghempas gagang telefon ke bawah dengan kuat hingga keseluruhan telefon yang tergantung di dinding turut menerima nasib yang sama. Bersepai telefon itu terhempas ke lantai.

Envy menendang telefon dilantai itu ke ruang tamu, berpura-pura seperti ianya kepala teman lelakinya yang tak guna itu sebelum menoleh ke arah abangnya. “ Kau orang ni semua anjing ke apa, atau cuma yang aku keluar dating je?”

Chad mengangkat kedua tangannya seolah-olah menyerah diri, “Abang rasa, perempuan pun boleh tahan sama. Sekarang ni tolong bertenang dan beritahu abang apa yang berlaku.”

Envy menyandarkan dahinya pada dinding yang sejuk. Dia tidak membenarkan walau setitis pun airmata terlepas dari empangan matanya. Dia tidaklah begitu sukakan Trevor untuk menitiskan airmata untuknya dan dia dah muak dengan semua lelaki yang banyak kekurangan dalam satu hal atau yang lain. “Jason baru saja telefon untuk ajak saya keluar. Dia ingat saya dah kembali solo kerana dia terserempak dengan Trevor di satu kelab tarian yang baru. Dia dilihat sedang mengurat perempuan lain di lantai tari kelab itu.”

Chad menggelengkan kepalanya. Dia langsung tidak berasa kasihan kepada Trevor bila adiknya dapat menangkapnya nanti. “Apa kata kita pergi clubbing?” dia mengangkat sebelah keningnya, tidak mahu terlepas peristiwa hebat ini.

Envy tersenyum,suka dengan idea itu, “Bagi saya sepuluh minit untuk bersiap.”

Chad mengangguk dan duduk di tepi sofa sambil menekan alat kawalan jauh untuk menonton berita, walaupun dia langsung tidak beri perhatian TV di hadapannya. Bukannya dia mahu pun adiknya berdating dengan Trevor. Dia tahu lelaki itu berlagak macam budak baik yang ideal dan kaya semata-mata untuk mengaburi pandangan semua orang terhadapnya, tetapi itu tidak bermakna dia suka lelaki itu menipu Envy tentang dirinya yang sebenar. Jika Trevor berniat untuk meniduri adiknya, sekurang-kurangnya adik perempuannya itu patut tahu kebenaran tentang siapa lelaki itu sebenarnya.

Memulakan hubungan dengan penipuan bukanlah cara yang terbaik. Kalau mahu menipu, adalah lebih baik langsung tidak melibatkan diri dalam hubungan. Dia memerangkap Trevor semasa kali terakhir dia melihat lelaki itu di stesen sebagai ejen penyamar dan telah memberi amaran kepadanya sama ada dia memberitahu Envy perkara yang sebenar atau menjauhkan diri daripada adiknya. Bukan salahnya jika Trevor tidak mahu mendengar apa-apa selain kata-katanya sendiri saja.

Ia menaikkan kemarahan Chad apabila dia berfikir yang Trevor mungkin mempergunakan Envy semasa dia melakukan kerja-kerja penyamaran di bar kelab malam. Dengan Envy sebagai pelayan bar di kebanyakan kelab, ia memberikan alasan buat Trevor untuk mengikutnya masuk ke bangunan kelab sebelum waktu ia dibuka dan tinggal lebih lama selepas kelab ditutup. Berada di situ tanpa ramai orang bersesak-sesak membolehkan Trevor untuk mnyelinap masuk ke mana-mana kawasan kelab dan Envy langsung tidak menyedarinya.

Chad menolak untuk melakukan kerja penyamaran, walaupun kumpulan Gerak Khas telah berkali-kali cuba untuk melibatkannya dalam perkara itu. Paling hampir pun setakat ini, adalah menjadi orang kegemaran mereka untuk merempuh masuk dan menangkap seseorang. Dan dia berasa okey tentang itu. Dia lebih suka berlawan dengan orang jahat berbanding berfoya-foya dan berbual sambil menyelinap ke sana sini, cuba mencari kesalahan seseorang.

Sebaliknya, kawan mereka Jason, ada ciri-ciri teman lelaki yang lebih baik untuk Envy. Dia pernah pergi ke sekolah yang sama dengan Jason, tapi inilah yang menjadi masalahnya. Jason ada hati pada Envy semasa sekolah menengah dan sering datang meluangkan masa dirumah hinggakan Envy menganggapnya seperti seorang abang... bukan lelaki.

Jason telah bekerja sebagai Renjer Taman Negara Angeles sebaik dia tamat persekolahan dan masih lagi bekerja ditempat yang sama semenjak itu. Envy masih gemar meluangkan masa dengan Jason. Dia juga dapat bertemu dengan kawan baiknya Tabatha lebih kerap, kerana Tabatha ialah sebahagian daripada unit pasukan renjer Jason.

Chad bangkit dari sofa dan berdiri di luar pintu bilik Envy. Mereka telah menjadi teman sebilik sejak empat tahun lalu, semenjak kedua ibubapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan kereta, dan mereka serasi bersama. Chad ialah seorang anggota polis manakala Envy pula bekerja sebagai pelayan bar on call di beberapa kelab malam dalam bandar itu.

Satu-satunya sebab dia tidak berkata apa-apa kepada Envy supaya mencari kerja “sebenar” ialah kerana pada kebanyakan malam dia membawa pulang lebih banyak wang berbanding dirinya. Itu membuatkan segalanya lebih baik kerana apabila tiba hari pembayaran sewa, Envylah yang selalunya akan menyelesaikan bayaran, sementara dia uruskan hal-hal yang lain.

 

“Kelab apa?” Dia tanya disebalik pintu.

“Kelab baru yang dipanggil Tarian Bulan,” Envy mengikut rambutnya yang panjang dan merah seperti strawberry tinggi menjadi ponytail, membiarkan rambutnya yang lain berjuntai ke bawah dibelakangnya berlapis panjang. “Lebih baik saya minta kerja sebagai pelayan bar sementara ada di sana.”

Chad mengerutkan dahinya. “Kelab itu jauh dihujung bandar, bukan?” Dia berjalan masuk ke biliknya tanpa menunggu jawapan daripada Envy. Baru-baru ini, perkara-perkara yang berlaku di hujung bandar sudah menjadi lebih berbahaya. Kes kehilangan adalah bahaya yang paling membimbangkan dan beberapa mayat telah ditemui disekitar kawasan berhampiran kelab itu.

Setakat ini tiada apa yang boleh dikaitkan secara langsung dengan Kelab Tarian Bulan, kecuali kesemua mangsa yang dipilih adalah orang yang suka pergi ke kelab malam. Hanya rangka masanya sahaja yang membuatkan Chad dan ramai lagi orang fikir agak meragukan. Terdapat beberapa persoalan sama ada benar atau tidak terdapat pembunuh bersiri di dalam bar itu. Beberapa mangsa terbaru telah dilihat berada dalam kelab itu. Sebagai seorang pegawai polis, dia tidak boleh mengabaikan kemungkinan terdapat perkaitan antara keduanya.

Oleh kerana pistol dan lencananya sudah ada dalam keretanya, Chad menyambar perenjat elektrik kecil dan menyelitnya ke dalam bahagian belakang tali pinggang seluarnya. Dengan begitu banyak perkara buruk yang terjadi disitu, dia mahu Envy memilikinya kalau-kalau sesuatu perkara yang tisak kena berlaku semasa mereka di dalam kelab itu.

Keluar dari biliknya, dia memandang ke arah laluan dihadapannya dan pandangannya terhenti serta merta apabila melihat adiknya. Skirt kulit berwarna hitam dengan renda terjuntai keluar dibahagian bawah pada paras separuh peha menutup kakinya dan dipakai dengan baju berenda hitam paras atas pusat. Hanya terdapat beberapa tompokan kain kulit di bahagian yang penting… cukup untuk menyembunyikan buah dadanya dan mendedahkan pusat dan pinggangnya yang ramping.

Dia juga memakai sepasang but kulit berwarna hitam yang separas buku lali dengan rantai comel yang melilit kakinya. Seutas rantai penggalan ibu mereka bertahun-tahun yang lalu menghiasi lehernya dengan loket kuarza amethyst tergantung pada rantai itu. Kebanyakan dari rambut merahnya diikat dengan ikatan ponytail tinggi dengan sedikit daripadanya jatuh di atas sebelah bahunya.

Solekannya sempurna dengan sedikit penggaris dan pembayang mata berwarna hitam dan gincu bibir bertona gelap. Dia kelihatan seperti dominatrix.

“Wow, kita nak keluar membunuh ke ni?” Chad mengangkat sebelah keningnya, menilai penampilan adiknya atas bawah dua kali. Dia ada terfikir untuk batalkan saja rancangan untuk keluar malam ini dan menyuruh adiknya kembali ke bilik atas sebab keselamatan.

“Baik, saya dah buat keputusan,” Envy mengangkat keningnya, “Selepas saya uruskan Trevor, saya nak berseronok! Mulai sekarang, saya tak mahu lagi bertemu janji dengan seorang lelaki. Saya tak mahu ada seorang teman lelaki...saya nak BANYAK teman lelaki! Dangen cara itu, kalau seorang buat perangai, tak perlu kisah pun sebab saya akan ada ramai lagi yang lain, gembira untuk singkirkan dia.”

“Yalah, abang ingat lagi macam mana ‘lancar’nya plan tu berjalan masa sekolah menengah dulu.” Chad menggeleng-gelengn kepalanya, tahu yang adik perempuannya yangn satu ini lebih naif daripada apa yang dia pura-pura tunjukkan. “Jom naik kereta abang kalau-kalau balai panggil.”

“Hanya kalau saya dapat bermain dengan lampu biru,” Envy tersenyum, mengetahui yang abangnya pasti izinkan.

Chad menghembus nafas berat dan mula berjalan ke arah keretanya. “Aku bersumpah kau ni lebih teruk dari budak kecil di kedai mainan meramas setiap patung mainan yang berbunyi bising dan buat semua orang jadi gila.”

“Apa?” adiknya ketawa. “Saya suka lampu biru. Semua orang beri laluan bila saya hidupkannya.”

“Macam masa kamu buathidupkannya ketika kita kehabisan kopi dulu?” tanya abangnya. “Kamu tahu kan itu membazirkan duit pembayar cukai, betuk tak?”

“Kalau abang tak diam saya akan drive kereta ni. Nanti abang kena hadap dengan lampu merah dan siren,” dia memberi amaran sambil mengenyitkan matanya.

Chad serta merta diam kerana kali terakhir perkara itu berlaku, adiknya terlambat ke tempat kerja dan dia sangat tidak sihat untuk memandu jadi dia duduk di kerusi penumpang, tidur dengan nyenyak. Ketua pasukannya masih lagi mengusiknya mengenai hal itu.

*****

Envy mematikan lampu biru kereta peronda abangnya lebih kurang satu blok bangunan sebelum tiba di kelab malam itu dan mendongak sambil melihat lampu limpah yang menari merentasi langit yang dilitupi awan itu. Dia fokuskan penglihatannya sebaik sahaja bangunan dua tingkat kelihatan dalam pandangannya.

Dia terlalu sibuk kebelakangan ini hinggakan dia tidak berpeluang untuk pergi melihat-lihat di kelam Tarian Bulan, tetapi beberapa pelanggannya pernah bercakap tentang kelab itu. Dari luar, kelab itu nampak biasa-biasa saja. Kelihatan seperti gudang batu-bata dengan sedikit jendela dan lampu neon besar berwarna ungu, digantung tinggi pada tembok hadapan.

Ramai orang beratur dalam satu barisan panjang merentasi separuh tempat letak kereta berpakaian dengan pakaian kelab terbaik yang mereka ada dan rancak berbual dengan satu sama lain. Mengetahui yang masih ada satu barisan selepas jam sepuluh malam memberitahu Envy yang bekerja disini mungkin boleh mendapat hasil lumayan.

“Yep, semestinya saya akan minta kerja di sini,” dia tersenyum pada fikirannya sendiri.

“Sekurang-kurangnya barisan tu dah hampir hilang,” kata Chad secara sarkastik, tidak mahu menunggu untuk melihat Trevor dibelasah adiknya yang penuh adrenalin itu.

Chad memarkir keretanya jauh di sudut gelap tempat letak kereta betul-betul di sebelah kereta Trevor. Sebelum Envy dapat membuka pintu kereta itu, Chad menyambar tangan adiknya. “Ambil ni,” dia meletakkan perenjat elektrik kecil ditangan Envy dan kemudian, tanpa sepatah kata tentangnya, dia membuka pintu keretanya dan keluar.

Envy menggenggam alat itu dengan jemarinya sambil tersenyum. Abangnya telah mengajarnya seni bela diri hingga ke tahap di mana dia mungkin boleh kalahkan kebanyakan rakan sejawat abangnya tanpa setitis peluh pun. Tapi Chad selalu berkata, ‘Kenapa nak bertumbuk, kalau apa yang perlu dilakukan hanya tekan satu butang?’

Envy menyelit perenjat kecil itu ke kocek sisi pada skirtnya bersama-sama dengan kad pengenalannya. Semestinya dia akan kenakan Trevor kali ini. Dengan gembira dia akan menekan butang lif ke neraka semata-mata ingin melihat lelaki itu di dalamnya sekarang ini. Tiada sesiapa pun yang boleh curang pada Envy Sexton akan berjaya melepaskan diri.

Mereka berjalan ke arah barisan bersama-sama dan Envy sangat gembira apabila barisan mula bergerak dengan laju yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk masuk ke kelab itu.

Pengawal pintu di situ memakai seluar Armani yang dipadankan dengan jaket sut yang sama. Kemeja di dalamnya mengikut lengkuk badan dan mendedahkan dadanya yang bidang. Rambut perangnya beralun jatuh ke sisi wajahnya. Kelihatan janggut ynag baru dicukur memenuhi dagunya dan dia mempunyai mata hitam yang menusuk, bersinar dibawah lampu neon yang menerangi tempat itu.

Chad menghulurkan wang dan menunjukkan kad pengenalan mereka sebelum lelaki itu menanda tangan mereka dengan cop dan melepaskan tali baldu merah tanda kebenaraan telah diberikan. Mereka melangkah masuk melalui pintu utama dan berjalan di laluan kecil menuju ke sebuah lagi pintu yang terbuka semasa mereka menghampirinya. Kedua-dua mereka berhenti apabila mereka memasuki ke ruang utama dan merenung sekeliling. Ianya seperti masuk ke dimensi lain.

Bagi ruang sepadat tempat letak kereta diluar, pastinya dia terfikir yang di dalam juga dipenuhi manusia dari dinding ke dinding tapi rupanya tekaannya meleset sama sekali. Bibir Envy terbuka sebaik dia berjalan ke arah satu ruang besar di tengah-tengah bilik itu.

Melangkah menghampiri selusur, dia menundukkan kepala memandang lantai tari di bawah. Di salah satu sisi mereka terdapat laluan turun yang panjang merentasi aras utama dengan kaunter bar dibina dari hujung ke hujung. Bar itu sendiri kelihatan seperti kaca fros dengan pencahayaan lembut dari neon tersulam melaluinya.

Dua set anak tangga turun dari arah kiri dan kanannya dan bertemu ditengah-tengah sebelum turun lagi ke arah lantai tari yang sebenar dibawahnya. Lantai tari itu bersinar dengan cahaya yang lembut, cukup untuk mengikat kaki mereka dalam sejenis cahaya hitam. Semuanya menambah hiruk pikuk kelab itu yang dicipta oleh lampu strob tinggi beserta cahaya dari lampu limpah berwarna warni yang menyuluh ke mana-mana arah kecuali terus ke arah penari.

Cara tempat itu direka, orang-orang yang sedang menari di lantai tari boleh dilihat dari lutut ke bawah, tapi selain daripada itu, semua hanya bebayang kabur.

Envy bersandar di selusur, meninjau kalau-kalau ada lagi bar di aras bawah tetapi yang kelihatan hanyalah lantai tari. Dia terfikir yang ini lebih kurang seperti sebuah lubang dalam. Sekali kaki melangkah menuruni tangga itu, mereka akan berada dalam belas ehsan kegelapan yang menyelubungi penari-penari itu secara peribadi.

“Kelab ini tiga tingkat?” tanya Envy, mendongakkan kepalanya melihat siling kejap di atas mereka. Jika dikira sekali dengan bawah tanah, itu menjadikannya tingkat ketiga dan dia tertanya-tanya jika ianya sebahagian dari kelab ini atau ia kawasan larangan.

Sorakan dan siulan membuat dia menoleh semula ke arah lantai tari. Matanya terbeliak tidak percaya apabila lampu limpah berwarna biru menyuluh ke arah sebuah sangkar besar di tengah-tengah lubang dalam itu. Serta merta tumpuannya tertarik pada lelaki yang terkurung disebalik palang besi itu.

Pandangan Chad juga terhenti pada sangkar itu. Ia kelihatan seperti sel penjara kecil. Di dalamnya terdapat seorang lelaki dan wanita dan mereka mengelilingi sambil merenung satu sama lain. Walaupun pada jarak mereka berdiri, Chad dapat merasakan kehangatan dalam pergerakan mereka. Wajahnya bagai kehilangan darah sambil tangannya menggenggam kuat pada selusur tangga apabila melihat lelaki di dalam sangkar itu menolak pasangan tariannya ke arah palang besi hanya untuk wanita itu tunduk mengelak lelaki yang cuba untuk memerangkapnya pada sangkar besi itu.

Berpusing-pusing di sekeliling sangkar, lelaki itu kemudiannya menyambar pergelangan tangan pasangannya dan menariknya berpusing agar wanita itu membelakangkannya sebelum menuntun tangannya ke arah palang besi dihadapan mereka. Membuatkan wanita itu menggenggam palang besi sangkar itu, dia menggeselkan dirinya pada tubuh wanita yang hampir tiada seurat benang itu hingga kepala wanita itu melentok ke belakang di dada lelaki itu seolah-olah dia menikmatinya.

Ia kelihatan seperti sifat kehaiwanan pada asalnya, hampir seperti tarian haiwan yang ingin mengawan. Chad dan Envy mendapati diri mereka terpukau dengan pertunjukan itu, apa yang dipersembahkan memberi kesan kepada mereka dalam cara yang berbeza.

Chad terus menonton selama beberapa minit tanpa sepatah kata apabila pasangan itu terpisah lagi hanya untuk lelaki itu memerangkap pasangannya dalam berbagai posisi. Kehangatan pergerakan mereka membuatkan seluar jeans nya terasa semakin ketat apabila peha lelaki itu menyentak ke atas mengena punggung pasangannya. Pandangannya dialihkan dalam kehampaan, Chad memaksa dirinya untuk melihat hiasan pada dinding atas yang dapat dilihat dari sudut tempat dia berdiri.

Kebanyakannya hanyalah cahaya memancar dengan lampu hitam mantap berhampiran lukisan gaya potret yang menggambar keindahan tubuh jaguar, beberapa sedang berkelahi dan beberapa pemangsa lain memburu secara solo. Haiwawn berbahaya itu kelihatan seolah-olah mempunyai daya hidupnya sendiri. Lukisan kaku itu hampir bergerak dengan cahaya yang melimpah, memberi tanggapan bahawa haiwan-haiwan itu hidup dan sedang memerhati.

Chad terpaksa akui yang tema kelab ini unik tetapi ianya berkesan. Matanya mengikut arah gerakan cahaya merentasi dinding dan dia perasan yang rantai digantung antara gambar-gambar disitu, ada beberapa yang mempunyai kolar berduri dan cambuk kulit berwarna hitam.

Dia menoleh semula melihat sangkar tadi dan baru berniat untuk mencari Jason apabila matanya menangkap sosok tubuh Trevor di lantai tari berhampiran salah satu lampu limpah di situ. Budak bodoh itu dihimpit dua orang gadis dan kelihatan sangat gembira menikmati ‘syurga’nya di situ. Mengerling ke arah Envy, Chad tahu yang dia tidak perlu berkata sepatah pun bila dia perasan yang mata adiknya memandang lurus ke arah trio itu.

 

Envy menyengetkan kepalanya ke sisi, cuba untuk mengkaji Trevor seolah-olah dia tidak mengenalinya. Ia membuatkan Envy terfikir mengapalah dia berdating dengan mamat tak guna tu mula-mula dulu.

Dai akui yang Trevor menyenangkan pada pandangan sesiapapun. Sangat kacak adalah perkataan yang paling sesuai. Penampilannya boleh dikatakan seperti peluncur ombak California dengan rambut perang keemasannya yang mengerbang itu, kulit sawo matang keemasan dan mata kelabu kebiru-biruan. Dia memang sangat menarik hingga terasa ingin menjilat seluruh tubuhnya dan sangat menyeronokkan.

Tapi jika ditolak wajah kacaknya, tiada apa sangat pun pada dirinya yang boleh memikat wanita. Apa yang tinggal hanyalah seorang budak kolej tak guna yang dilahirkan dalam kemewahan. Bila mereka bersama, dia memberikan sepenuh perhatian tetapi dia juga selalu menghilangkan diri tanpa dapat dikesan, kadang kala sehingga berhari-hari lamanya.

Satu-satunya perkara baik yang boleh dikatakan mengenai Trevor ialah dia memang hangat di ranjang, dan dia telah berikan saat-saat paling manis dalam hidup Envy.

Bila difikir-fikirkan, dia betul-betul percaya yang Trevor sukakannya... lebih daripada sekadar menyukainya. Memang nampak sangat dia ‘tahu’ tentang lelaki. Yang sebenarnya, dia dah bosan bersendirian… tapi, itu bukan alasan untuk mula bertemu janji dengan lelaki.

Envy mengeluh panjang sambil melihat lelaki itu menepuk punggung perempuan yang dari tadi menempel padanya, menyedari yang dia langsung tiada rasa cemburu. Jika dia betul-betul jatuh cinta pada lelaki itu, tidakkah dia akan rasa benar-benar sentap sekarang dan bukan sekadar terluka? Apa yang paling mengganggu fikirannya sekarang ialah Trevor berbohong tentang mahukan hanya dirinya.

Jason telah lama memerhatikan Envy masuk ke kelab itu dari bangku di bar yang paling hampir dengan pintu. Dia dah dapat mengagak yang Envy akan datang dan dia tidak terkejut melihat Chad ada bersama dengannya. Selepas memberi mereka masa beberapa minit untuk melihat sekeliling, dia tersenyum sinis dalam kepuasan apabila dia perasan ketegangan pada bahu Envy dan tahu yang dia telah ternampak teman lelakinya berfoya-foya di lantai tari.

Dia cuba untuk menyembunyikan rasa cemburunya selama beberapa bulan yang lalu dan dia tidak mahu melukakan hati Envy, tapi jika ini saja perkara yang boleh dilakukan untuk membuat Envy menjauhi Trevor, maka ia untuk kebaikannya sendiri.

Memaling semula ke arah Kat, pelayan bar cantik yang dari tadi dia berbual dengannya, Jason tersenyum, “Kan saya dah kata mereka akan datang.” Dia mengangguk ke arah Envy dan Chad.

Sudah lebih dari satu jam dia berada disini, tetapi setelah menyaksikan kecurangan Trevor pada Envy, dia tidak berminat untuk menyertai dengan orang ramai yang sedang berparti. Dia bosan dan mula berbual dengan Kat untuk biarkan masa berlalu. Malah dia pernah memberitahunya tentang teman lelaki Envy yang curang.

“Jadi itu kawan baik kamu dan adiknya?” Kat memerhatikan pasangan itu tetapi minat utamanya adalah pada polis itu. Sekiranya Jason tidak memberitahunya bahawa Chad adalah seorang polis, dia tidak mungkin mengetahuinya. Dia sangat kacak pada pandangan Kat.

Dengan ketinggian kira-kira enam kaki satu dan kulit yang seperti dicium sinar mentari, rambut coklat dengan highlight keemasan. Rambutnya lebih panjang daripada gaya rambut polis yang biasa dan kelihatan seperti digayakan lebih ke satu sisi, menampakkan penampilan sedikit liar. Dia mendapati dirinya membandingkan lelaki itu dengan Quinn, dan kemudian mengerdipkan matanya menyedari dia telah melakukannya lagi. Dia melirik semula kepada Jason mengetahui bahawa mereka berdua perlu melepaskan kehangatan cinta lalu atau mungkin nanti mereka berterusan ‘terbakar’.

“Dia tidak nampak macam polis pun,” kata Kat, sambil merenung Chad dan tertanya-tanya adakah dia sedang berdating dengan seseorang. Jason tidak memberitahunya pa-apa langsung.

“Ya apa boleh buat,” wajah Jason hampir cemberut apabila dia perasan akan cara Kat memandang Chad. Dia menggelengkan kepalanya, “Saya akan kembali dalam beberapa minit.”

Selesai menghabiskan soda kelabnya, dia bangun dari bangkunya dan berjalan ke arah rakan-rakannya. Ketika dia semakin menghampiri mereka, dia meletakkan tangannya di bahu Envy. Mendekatkan bibirnya ke cuping telinga Envy, dia berbisik, “Awak nak menari?”

Envy tersenyum tanpa menoleh. “Oh, semestinya ya!” katanya sedikit menjerit, dan kemudian turun dari tangga terdekat, meninggalkan Jason berdiri di sebelah Chad dengan tangannya masih diletakkan di bahu khayalan. Matanya berkelip apabila mendengar Chad ketawa.

“Siyot,” Jason menghela nafas sambil melihat Envy turun.

Chad menepuk bahu Jason dengan rasa kasihan sambil membawanya kembali ke bar dan bersandar padanya, “Jangan biarkan hal itu menngganggu kau. Aku rasa Envy cuma ada satu je dalam fikirannya sekarang dan ia melibatkan balas dendam. “

Dia melirik ke arah gadis di belakang bar dan, untuk seketika, terlupa yang Jason ada di situ. Wanita itu kelihatan memukau dengan kulit coklat tembaga dan rambut hitamnya yang sangat panjang yang bergulung di bahunya dan hingga ke pinggulnya. Mata wanita itu pula sebaliknya, berwarna biru muda dengan gegelang hitam yang sangat tebal di sekeliling warna yang lebih terang.

Bibirnya yang penuh itu yang menarik pandangannya kemudia dia berkata, “Tolong beri saya soda saja.”

“Tidak minum malam ini?” Jason bertanya, dan berusaha untuk tidak menjegil matanya ke arah rakannya apabiloa mata Chad tertuju pada Kat, ketika dia menjawab. “Kenapa semua gadis suka dengan polis?”

“Tidak, saya rasa yang saya perlu kekalkan kesedaran minda saya buat masa sekarang. Saya tak begitu suka dengan Trevor, jadi saya berikan perenjat saya kepada Envy untuk bermain dengannya. “ Chad mengalihkan pandangan dari gadis itu cukup lama untuk menyeringai pada Jason. “Dan saya memandu kereta polis.” Dia tahu Jason pasti memahami akan maksudnya.

Jason menjauh dari bar tiba-tiba dan memaafkan rakannya kerana menjadi ‘magnet’ para gadis. “Oh tidak, tidak mungkin aku akan ketinggalan tentang ini!” Dia turun kembali ke selusur, ketika tawa Chad menyusul di belakangnya.

“Oh, itu dah kira saya buat dua orang rasa gembira malam ini,” Chad mengenyitkan mata ke arah Kat, mengetahui yang Kat sudah mendengarnya, lalu membayar minumannya. Sebaiknya dia pergi melihat apa yang Envy sedang lakukan.

Kat mengangguk ketika Chad menyelitkan wang dua puluh dan menyuruhnya menyimpan baki sebelum dia pergi menyertai Jason. Kedua-dua lelaki itu memang boleh membahayakan hormon seorang gadis. Jason mempunyai rambut berwarna coklat pasir yang panjang dan wajah serta badan seperti model dalam drama Bay Watch.

Dia melihat sebahagian besar gadis-gadis cuba untuk menarik perhatian mereka ketika mereka lalu di situ. Jason kelihatan tidak perasan dengan kehadiran mereka dan nampaknya seperti tenggelam dalam fikirannya sendiri ... sehingga dia mula memberitahu Kat tentang kawan baiknya, Chad, dan adik perempuannya, gadis yang kedua-dua mereka sangat lindungi.

Dia terlepas pandang tentang itu, seseorang selain daripada abang-abangnya begitu melindungi dirinya. Dia berkedip perlahan memaksa bayangan wajah Quinn keluar dari kepalanya dan fokus pada masalah yang sedang dihadapi.

Disebabkan hal perenjat itulah yang membantutkan fikirannya terhadap Quinn. Kat memutuskan untuk memberi amaran kepada saudara-saudaranya tentang hiburan baru yang bakal bermula. Sudah cukup banyak masalah akhir-akhir dalam menangani rentetan pembunuhan di sekitar kelab ini. Perkara terakhir yang mereka perlukan adalah lebih banyak perhatian yang buruk.